Apakah Psoriasis



PSORIASIS 

Psoriasis adalah sejenis penyakit kulit yang berpanjangan dan berulang.
Ia terjadi berikutan gangguan sistem imun badan yang menyebabkan pertumbuhan sel-sel kulit lebih cepat iaitu tiga hingga tujuh hari berbanding 21 hingga 28 hari dalam keadaan biasa.

Proses ini menyebabkan sel-sel bergerak ke atas kulit dengan cepat seterusnya menjadikan kulit muncul sebagai tompok-tompok merah dengan sisik yang tebal dipermukaan kulit.

Pakar Dermatologi Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Azura Mohd Affandi berkata, psoriasis adalah penyakit keradangan kulit kronik yang menyebabkan kulit menebal lebih cepat. “Psoriasis adalah penyakit yang setakat ini tiada penyembuh, namun rawatan jangka panjang mampu mengawal penyakit ini. Sehingga kini, punca psoriasis masih tidak diketahui,” katanya ketika ditemui pada Mesyuarat Tahunan Persatuan Psoriasis Malaysia di HKL baru-baru ini.

Mengulas mengenai bahaya psoriasis, Dr Azura memberitahu, penyakit itu membawa kesan negatif kepada psikologi pesakit. Faktor lain menjadi penyebab psoriasis bertambah buruk termasuk tekanan perasaan, pengambilan alkohol berlebihan, jangkitan kuman, kecederaan kulit dan tindak balas ubat-ubatan tertentu seperti ubat darah tinggi, ubat tahan sakit dan antibiotik.“ Tahap keterukan psoriasis bermula daripada tompok kecil pada satu bahagian hinggalah ke keseluruhan permukaan badan. Psoriasis menyebabkan tompok tebal dan bersisik dikenali sebagai plak psoriasis.