Panau


Perubahan warna kulit terutama di bahagian terlindung mungkin tidak begitu membimbangkan. Rasionalnya, ia perkara biasa terutama pada bahagian yang tidak terdedah pada cahaya matahari.
Namun sekecil mana pun kesan perubahan warna itu berlaku pada kulit, ia perlu diberi perhatian kerana kemungkinan besar keadaan itu akan menyebabkan berlakunya panau.

Ramai yang tahu mengenai panau tetapi hanya segelintir yang faham punca serta cara mengatasinya.
Panau berlaku berikutan jangkitan pada lapisan luaran kulit berpunca daripada kulat jenis Malassezia. Kulat ini biasanya ditemui pada bahagian kulit di mana terdapat banyak penghasilan sebum (minyak) seperti di bahagian dada, belakang badan, wajah dan kulit kepala.

Kulat jenis Malassezia furfur ini ialah sebahagian daripada flora kulit yang normal dan hanya menyebabkan jangkitan dalam keadaan yang tertentu.

Secara ringkasnya, panau ialah tompok putih yang tumbuh di sekitar bahagian tubuh yang aktif berpeluh seperti kulit kepala, pipi, belakang leher dan belakang badan.
Ia ketara jika si penghidap berkulit gelap. Panau bukan hanya mengganggu penampilan diri, malah ia menimbulkan rasa gatal berpanjangan ketika berpeluh.

Mereka yang mengalami masalah panau ini mempunyai tompokan pucat (putih juga merah jambu) atau gelap (perang atau hitam) dengan permukaannya yang berdebu halus.
Tompokan ini berbentuk bulat atau bujur dan kadangkala bercantum hingga menyebabkan permukaannya kelihatan lebih luas.

Panau sebenarnya boleh dialami oleh setiap peringkat umur dan latar belakang. Bagaimanapun, ia lebih kerap berlaku dalam kalangan remaja dan mereka yang berusia awal 20-an.

Pesakit yang kekurangan zat makanan atau mengambil ubat seperti steroid sistemik dan imunosupresan lebih berisiko tinggi serta kerap mendapat panau. Begitu juga dengan pesakit hyperhidrosis atau peluh yang berlebihan.

Lazimnya, pemeriksaan untuk mengenal pasti panau dibuat berdasarkan rupanya pada bahagian badan lalu disahkan dengan penggunaan mikroskop.

Proses ini membabitkan pengambilan sampel dengan cara kikisan atau penggunaan pita selofan.
Menariknya, dengan menggunakan mikroskop, kulat pada panau ini akan kelihatan dalam bentuk ‘hyphae’ dan ‘spora’ iaitu seakan-akan spageti serta bebola daging.

Penggunaan alatan khas seperti Wood’s lamp dengan sinaran ultra ungu pada gelombang 365nm boleh menunjukkan warna kekuningan pada bahagian badan yang mempunyai panau bagi sesetengah kes.

A post shared by Nadi Herbs (@nadiherbs) on
Panau